Siaran tv analog di Utara, Timur Semenanjung ditutup sepenuhnya – MCMC
KUALA LUMPUR,. Siaran televisyen (TV) terrestrial analog secara rasminya ditutup di tujuh buah negeri Wilayah Utara dan Timur Semenanjung pada 12.30 malam tadi, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC menjelaskan penutupan itu menandakan berakhirnya era penyiaran TV analog yang kini beralih kepada siaran Digital myFreeview sepenuhnya di Semenanjung.
“Proses penutupan membabitkan 49 stesen pemancar TV analog merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Kemuncak kepada proses penutupan siaran TV Digital myFreeview akan berlangsung di Sabah dan Sarawak pada 31 Okt ini yang bakal menyaksikan peralihan bersejarah kepada siaran TV Digital myFreeview sepenuhnya di seluruh negara,” menurut SKMM.
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa majlis ringkas peralihan siaran TV analog ke digital dijalankan di Gunung Jerai, Kedah dan Bukit Besar, Terengganu.
“Majlis dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah; Mohd Firdaus Ahmad, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC; Mohd Zaidi Abdul Karim, Pengurus Besar Negeri Telekom Malaysia; Anis Ahmad Mohd Ibrahim dan Naib Presiden Kawal Selia MYTV; Shamsul Najib Mohtar.
Manakala di Bukit Besar, seramai 40 orang mewakili MCMC, Telekom Malaysia Bhd, MYTV dan Radio Televisyen Malaysia,” menurut SKMM.
Menerusi siaran TV Digital myFreeview, penonton diberi pilihan menonton pelbagai saluran TV, radio serta aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, informasi semasa, pendidikan interaktif dan pelbagai rancangan lain.
Mereka yang belum beralih kepada platform siaran TV Digital myFreeview digalakkan untuk berbuat demikian dengan mendapatkan dekoder dan memasang aerial Ultra Frekuensi Tinggi (UHF) dan memasangnya kepada set tv sedia ada atau mendapatkan Integrated Digital TV (IDTV) yang telah dilengkapi dengan penala digital serta memasang kepada aerial UHF.
— BERNAMA