Sidang Kemuncak Korporat PNB kenal pasti elemen utama pacu pertumbuhan negara

KUALA LUMPUR,. Sidang Kemuncak Korporat PNB (PCS) yang julung kali diadakan tahun ini dengan tema Rebooting Corporate Malaysia bertujuan memberi perspektif antarabangsa, serantau dan tempatan kepada syarikat Malaysia untuk mengenal pasti elemen utama dalam memacu pertumbuhan negara seiring kebangkitan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan ekonomi digital.

Acara yang akan diadakan pada 30 Okt ini akan membincangkan topik seperti kewangan global, IR4.0 dan perniagaan serta aliran tadbir urus selain memberi peluang jaringan kepada peserta, menurut Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam kenyataan hari ini.

Syarikat pengurusan dana itu berkata PCS 2019 akan mewujudkan platform kepada korporat Malaysia untuk berhimpun dan bertukar pandangan mengenai perkembangan dinamik pasaran dan kesannya kepada syarikat Malaysia.

“Sidang kemucak ini akan menampilkan pemikir elemen kepimpinan, idea, inovasi, ekonomi, politik dan masyarakat yang memberi kesan kepada ekuti awam dan swasta,” menurut PNB.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menyampaikan ucapan khas semasa majlis perasmian acara tersebut.

Antara penceramah terkemuka di PCS 2019 ialah futuris dan penulis buku paling laris Augmented: Life in The Smart Lane, Brett King; bekas pegawai kanan bank pelaburan yang berpangkalan di Hong Kong dan kini seorang aktivis dan penganalisis pasaran saham, David Webb; dan Ketua Pakar Ekonomi IQI Global, Shan Saeed yang turut terlibat dalam menasihati pelanggan mengenai pelbagai bidang termasuk pengurusan risiko/pematuhan, ekonomi makro global dan strategi perniagaan.

Peneraju korporat Malaysia yang akan berkongsi kepakaran mereka dalam acara itu termasuk Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Shahril Ridza Ridzuan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias; dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd, Surina Shukri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )