Sidang Kemuncak NAM ke-18 di Baku, Azerbaijan bermula

Sidang Kemuncak NAM ke-18 di Baku, Azerbaijan bermula

BAKU,. Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 bermula pada Jumaat di ibu negara Azerbaijan, dengan lebih 120 pemimpin negara anggota berhimpun di sini, semasa dunia berdepan cabaran baharu termasuk perang perdagangan.

Pada sidang kemuncak itu, Azerbaijan yang diterajui Presiden Ilham Aliyev, mengambil alih tanggungjawab sebagai pengerusi NAM selama tiga tahun akan datang, daripada Venezuela.

Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad antara lebih 20 pemimpin utama yang menghadiri sidang kemuncak dua hari itu yang berlangsung di Pusat Kongres Baku.

Semasa tiba di pusat berkenaan, Dr Mahathir disambut Ilham sebelum menyertai pemimpin lain pada majlis perasmian.

Upacara bermula dengan para hadirin bertafakur selama seminit bagi memperingati pemimpin-pemimpin Pergerakan Negara-Negara Berkecuali yang meninggal dunia sejak Mesyuarat Peringkat Menteri di Caracas, diikuti dengan pembentangan laporan oleh Venezuela mengenai aktiviti NAM bagi tempoh 2016 hingga 2019 serta ucapan perasmian oleh Ilham.

Sidang kemuncak itu didahului oleh Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) pada 21 dan 22 Okt serta Mesyuarat Peringkat Menteri pada 23 dan 24 Okt.

Dr Mahathir, yang kali terakhir menghadiri Sidang Kemuncak NAM semasa Malaysia menjadi tuan rumah pada 2003, akan mengambil bahagian dalam perbahasan umum berhubung tema Sidang Kemuncak, ‘Berpegang Kepada Prinsip Bandung bagi memastikan respons bersama dan mencukupi terhadap cabaran dunia semasa’.

Beliau dijangka menyentuh mengenai nasib penduduk Palestin, perang perdagangan dan keperluan para anggota NAM untuk terus bersatu.

Perdana Menteri yang tiba di ibu negara Azerbaijan malam tadi, dijangka bertemu dengan beberapa pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak dua hari itu termasuk Presiden Pakistan Arif Alvi dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Azerbaijan, yang menjadi anggota penuh NAM pada Mei 2011, menyertai senarai negara-negara yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak NAM iaitu Yugoslavia (1961), Mesir (1964), Zambia (1970), Algeria (1973), Sri Lanka (1976), Cuba (1979), India (1983), Zimbabwe (1986), Yugoslavia (1989), Indonesia (1992), Colombia (1995), Afrika Selatan (1998), Malaysia (2003), Cuba (2006), Mesir (2009), Iran (2012) dan Venezuela (2016).

NAM, yang pertama kali mengadakan sidang kemuncaknya di Belgrade, Yugoslavia, pada 1961, dibentuk pada kemuncak Perang Dingin sebagai jalan bebas dalam politik antarabangsa bagi negara-negara yang ingin bebas dari pengaruh kuasa besar yang dipimpin oleh Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat pada masa itu, dan tidak menjadi cabaran dalam persaingan ideologi mereka.

Pergerakan yang kini mempunyai 120 negara anggota, 17 negara pemerhati dan 10 organisasi pemerhati, adalah platform multilateral kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan menyediakan platform yang luas dan menyeluruh untuk rundingan politik dan kerjasama praktikal.

Pengasas NAM ialah Josip Broz Tito dari Yugoslavia, Jawaharlal Nehru (India), Gamal Abdel Nasser (Mesir), Kwame Nkrumah (Ghana) dan Sukarno (Indonesia).

NAM mempunyai konsep asasnya yang berasal dari Persidangan Asia-Afrika, juga dikenali sebagai Persidangan Bandung, yang diadakan di Indonesia pada 1955. Ia adalah landasan untuk pembentukan gerakan, yang antara lain berjuang untuk menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara, pengiktirafan persamaan di antara semua kaum dan semua negara serta tidak campur tangan atau tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

— BERNAMA

Daripada D. Arul Rajoo

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)