Sidang Media Harian KP Kementerian Kesihatan 01 April 2020

PUTRAJAYA, 1 April — Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama sejak 18 Mac hingga semalam, menunjukkan tanda-tanda awal kejayaan dalam tindakan mengawal dan melandaikan graf penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun terdapat kes mendadak namun ia disebabkan oleh tindakan KKM yang membuat pengesanan kes secara aktif.

Merujuk kepada graf kes COVID-19 di Malaysia, beliau berkata garis merah yang merupakan unjuran Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), menunjukkan kes COVID-19 dijangka bertambah dalam tempoh PKP fasa pertama.

“Garis biru pula adalah kes COVID-19 yang KKM rekodkan. Ini menunjukkan garis biru semakin mendatar atau ‘flatten the curve’,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, KKM akan mempertingkatkan strategi dan aktiviti di kawasan ‘hot spot’ yang dikenal pasti sepanjang pelaksanaan fasa kedua PKP yang bermula hari ini.

“Jika ada kes mendadak di kawasan ‘hot spot’ tersebut, kita akan laksanakan PKP Diperketatkan di tempat tersebut. Kita akan saring semua orang di kawasan tersebut termasuk menguji dan memberi rawatan kepada mereka,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada rakyat boleh balik kampung sempena hari raya nanti, Dr Noor Hisham menjelaskan perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan, kerana kerana ia bergantung sama ada COVID-19 dapat dikawal sebaik mungkin atau tidak.

“Namun kita nampak graf sekarang ini ada tanda-tanda awal, ia dapat dikawal. Jadi, dalam tempoh dua minggu ini, setiap kita perlu memperketatkan amalan-amalan seperti membasuh tangan dan jarakan sosial.

“Paling penting, ubah tingkah laku dan kita boleh ubah trend ini,” jelasnya.

Mengulas mengenai sama ada perlu bazar Ramadan diadakan tahun ini, KKM mengalu-alukan idea dan inovasi daripada orang ramai, untuk dipertimbangkan.

“Masa inilah kita menggunakan idea yang inovatif, sebagai contoh e-bazar Ramadan, online bazar Ramadan atau bazar Ramadan pandu lalu. Kita alu-alukan idea baharu kerana hendak mengelakkan perhimpunan orang ramai,” kata Dr Noor Hisham.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)