Sidang Media Khas PKP Covid-19 9 April 2020

Sidang Media Harian Covid-19 oleh Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan (Keselamatan).

Kerajaan tidak pinggir masyarakat Orang Asli sepanjang PKP – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 9 April — Kerajaan menafikan dakwaan bahawa masyarakat Orang Asli dipinggirkan daripada menerima bantuan bekalan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melaksanakan agihan Bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat berkenaan.

Bantuan fasa pertama dari 2 hingga 10 April diagihkan kepada 49,670 ketua isi rumah di 853 buah perkampungan Orang Asli di seluruh negara bernilai RM5 juta dengan bantuan fasa kedua bermula esok dengan bilangan penerima meningkat kepada 55,000 ketua isi rumah melibatkan peruntukan RM6 juta.

“Bantuan fasa kedua ini merupakan sambungan daripada agihan fasa pertama dengan penambahan kepada keluarga yang berpindah randah dan tinggal di kampung tambahan,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan PKP di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta orang ramai membuat aduan kepada pemimpin masyarakat setempat di kampung dan daerah masing-masing sekiranya timbul isu melibatkan bantuan bekalan makanan yang tidak sampai kepada mereka.

“Dinasihatkan supaya segala masalah seperti ini diadukan kepada pemimpin masyarakat setempat seperti wakil rakyat dan ketua kampung. Pemimpin masyarakat ini akan memanjangkan masalah kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” tambahnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tiada masalah untuk membenarkan jenazah atau mayat rakyat Malaysia yang meninggal dunia di luar negara akibat COVID-19 dibawa pulang ke negara ini.

Beliau berkata, ia dibenarkan namun urusan terbabit mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini belum ada kematian membabitkan rakyat Malaysia akibat COVID-19 di luar negara.

“Kalau ada KKM akan keluarkan SOP bagaimana untuk bawa pulang dan sebagainya dan kita juga mesti patuhi juga SOP dikeluarkan negara berkaitan, jadi ada dua SOP,” katanya.

Beliau berkata setakat semalam sebanyak 143 pusat kuarantin termasuk 24 hotel telah beroperasi dengan 9,720 individu sedang menjalani kuarantin wajib.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )