Siklon Mocha: ASEAN hantar satu lagi bantuan kemanusiaan ke Myanmar

Siklon Mocha: ASEAN hantar satu lagi bantuan kemanusiaan ke Myanmar

BANGKOK,. ASEAN menghantar satu lagi bantuan kemanusiaan bernilai US$37,800 kepada Myanmar yang dilanda Siklon Mocha pada bulan lepas.

Menurut kenyataan pengerusi ASEAN, barangan bantuan termasuk kit alat perlindungan kecemasan dan sistem penapisan air manual tiba di Yangon pada Isnin (26 Jun).

Bantuan itu diangkut dari gudang Sistem Logistik Kecemasan Bencana untuk ASEAN (DELSA) di Subang, Malaysia menggunakan pesawat tentera Indonesia, menurut kenyataan itu.

“ASEAN bersedia untuk terus menyokong Myanmar, termasuk peralihan daripada respons kecemasan kepada fasa pemulihan.
“Modus sokongan mungkin dibangunkan antara lain, daripada laporan penilaian akhir Pasukan Respons dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT).

“Setiausaha Agung ASEAN, atas kapasitinya sebagai Penyelaras Bantuan Kemanusiaan ASEAN (SG-AHAC) akan menyelaras respons ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Minggu lalu, dua kumpulan barangan bantuan DELSA bernilai US$393,400 turut dihantar dari Subang ke Yangon pada 21 dan 28 Jun.

Sehingga kini, ASEAN menerusi Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan mengenai pengurusan bencana (Pusat AHA) menggerakkan 10 kumpulan sokongan kemanusiaan untuk Myanmar dengan nilai keseluruhan sekitar US$ 1.6 juta.

Kenyataan itu memaklumkan bantuan itu digerakkan melalui penerbangan komersial, pengangkutan laut, dan pesawat tentera dari Singapura dan Indonesia.

Negara-negara anggota ASEAN juga bertindak secara individu dengan menyediakan sokongan bantuan kemanusiaan dalam bentuk bantuan kewangan, logistik dan alatan/peralatan.

Siklon Mocha telah menjejaskan berjuta-juta orang di Myanmar dan merosakkan 277,011 bangunan termasuk kediaman, sekolah, hospital dan kemudahan awam yang lain.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )