Sime Darby Motors akan edar EV BYD di Malaysia
KUALA LUMPUR,. Sime Darby Motors (SDM) Malaysia pada Rabu menandatangani perjanjian pengedaran dengan BYD, pembuat kenderaan tenaga baharu terkemuka dunia, bagi kemasukan kenderaan elektrik (EV) BYD ke pasaran kenderaan penumpang Malaysia.
Dalam kenyataan, SDM menjelaskan perjanjian itu akan melibatkan pengedaran ATTO 3 selain kenderaan e6 baharu BYD oleh pihaknya.
Pengarah Urusan SDM, Andrew Basham berkata perkongsian itu akan membawa kepakaran BYD ke pasaran Malaysia melalui pelbagai model EV.
“Kerjasama kami dengan BYD adalah antara langkah yang diambil SDM ke arah merealisasikan matlamat kami menjadi peneraju dalam pasaran EV. Ini juga sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia ke arah mobiliti karbon rendah,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto Asia Pasifik BYD, Liu Xueliang berkata Malaysia ialah pasaran penting bagi pengembangan BYD memandangkan terdapat peluang amat luas untuk ekosistem EV berkembang.
“Berlandaskan rekod prestasinya yang terbukti dan operasi kukuh dalam sektor automotif di rantau Asia Pasifik, kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan SDM bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap EV di Malaysia,” katanya.
— BERNAMA