
Sime Darby Property lancar Vision Business Park dengan GDV RM2.4 bilion
SEREMBAN,. Sime Darby Property Berhad melakar kejayaan penting apabila menyempurnakan majlis pecah tanah bagi Vision Business Park (VBP) di Negeri Sembilan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.4 bilion.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property Datuk Seri Azmir Merican berkata VBP merupakan pembangunan industri terbaharu di bawah Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV2.0), meliputi keluasan 307.56 hektar (760 ekar) dan dijangka mewujudkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Projek ini sejajar dengan visi ekonomi negeri yang menyasarkan untuk menarik pelaburan sebanyak RM294 bilion dan mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan. VBP juga merupakan sebahagian daripada langkah strategik dalam merealisasikan pembangunan berfasa MVV2.0 yang meliputi keluasan 153,416.3 hektar (379,100 ekar) di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata syarikat itu telah membangunkan lebih 2,428.1 hektar (6,000 ekar) di Negeri Sembilan dan kini sedang mengembangkan jejaknya melalui pembangunan industri di Nilai Selatan.
“VBP merupakan langkah penting dalam komitmen kami terhadap pembangunan perindustrian dan menyokong transformasi ekonomi Negeri Sembilan. Sebagai hab industri yang bersedia untuk masa depan, VBP akan menarik perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan kedudukan negeri sebagai pusat pertumbuhan perindustrian.
“Berdasarkan kejayaan membangunkan Hamilton Nilai City yang beroperasi sejak 2021, VBP akan menyokong pertumbuhan industri ringan dan sederhana, sekali gus memacu inovasi dan pengembangan,” katanya.
Majlis pecah tanah itu disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang berlangsung pada Khamis.
Azmir berkata VBP menampilkan nisbah industri kepada komersial iaitu 80:20, dengan menyediakan 252.11 hektar (623 ekar) untuk industri dan 55.44 hektar (137 ekar) untuk aktiviti komersial yang memenuhi keperluan perniagaan pelbagai saiz.
Beliau berkata pembangunan itu menawarkan ekosistem industri yang menyeluruh, termasuk kilang sedia bina, lot perindustrian, pejabat kedai, serta pusat penyelidikan dan pembangunan (RD) yang direka untuk menyokong pertumbuhan perniagaan.
Pelan induknya menggalakkan sinergi perniagaan, dilengkapi kemudahan berpusat seperti kuarters pekerja khas dan tempat letak kenderaan berat berpusat bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Azmir berkata VBP mendapat manfaat daripada akses terus ke Jalan Nilai-Labu-Enstek (NLE), yang menyediakan kesalinghubungan yang lancar ke pusat-pusat perindustrian dan logistik utama seperti Nilai Inland Port, KLIA dan KLIA2.
“NLE menghubungkan VBP ke Lebuhraya Utara-Selatan, menambah baik kecekapan logistik untuk perdagangan serantau dan antarabangsa,” katanya.
— BERNAMA