Sindiket Penghantaran Wang Haram Ditumpaskan, RM3.6 Juta Dirampas

Sindiket Penghantaran Wang Haram Ditumpaskan, RM3.6 Juta Dirampas

PUTRAJAYA, 8 Feb 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menumpaskan sindiket pengiriman wang tanpa lesen dengan merampas RM3.6 juta serta menahan 10 warga asing dalam operasi khas di Klang, Selangor dan Brickfields, Kuala Lumpur, pada Khamis lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi yang dijalankan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan CyberSecurity Malaysia menyasarkan beberapa premis yang dipercayai menjalankan kegiatan pemindahan wang secara haram.

“Dalam serbuan ini, pihak berkuasa turut merampas €1,400 (Euro), ¥10,000 (Yuan) serta beberapa barangan kemas dipercayai emas,” katanya dalam satu kenyataan.

10 Warga Asing Ditahan, Ada yang Tiada Dokumen Sah
Hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki warga India telah menyalahgunakan pas lawatan, dua lelaki India tinggal lebih masa, manakala tiga lelaki India serta dua wanita warga Indonesia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 57 tahun telah dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” ujar Zakaria.

Sindiket Berselindung di Sebalik Perniagaan Sah
Menurut beliau, sindiket ini menawarkan perkhidmatan pemindahan wang tanpa lesen kepada pelanggan dari India dan Indonesia, dengan berselindung di sebalik kedai runcit dan restoran bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Mereka menjalankan operasi secara rahsia dengan menggunakan premis perniagaan biasa sebagai topeng untuk menutup kegiatan haram ini,” katanya.

Siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi selama setahun, dengan transaksi harian antara RM15,000 hingga RM60,000, dan mencecah RM110,000 pada musim perayaan. Wang tersebut kemudiannya dihantar ke luar negara, khususnya ke Indonesia dan India.

Selain itu, sindiket ini dipercayai menggunakan barangan kemas sebagai medium penghantaran wang, bagi mengelak daripada dikesan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan rasmi.

Zakaria menegaskan bahawa kes ini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan perniagaan wang dan pengubahan wang haram.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus ( )