Singapura akan sekat laman sesawang LFL

Singapura akan sekat laman sesawang LFL

SINGAPURA,. Infocomm Media Development Authority (IMDA) akan mendapatkan kerjasama penyedia perkhidmatan internet di sini untuk menyekat laman sesawang kumpulan hak asasi manusia dari Malaysia yang mendakwa penjara di Singapura menggunakan kaedah yang menyalahi undang-undang dalam pelaksanaan hukuman mati, menurut The Straits Times pada Khamis.

Memetik Kementerian Komunikasi dan Maklumat (MCI) republik ini, laporan itu berkata menterinya mengarahkan IMDA berbuat demikian selepas kumpulan Lawyers for Liberty (LFL) tidak mematuhi satu arahan supaya melakukan pembetulan di bawah undang-undang berita palsu terhadap kenyataan pada 22 Jan di dalam laman sesawang kumpulan itu.

“Arahan pembetulan itu dikeluarkan kepada LFL meminta fakta supaya diatur seiring dengan ‘kepalsuan’ supaya pengguna terakhir di Singapura dapat membaca kedua-dua versi dan membuat kesimpulan mereka sendiri,” kata kementerian itu.

Laporan itu berkata LFL mendakwa pegawai penjara Singapura diarahkan menendang belakang leher banduan dengan kuat untuk mematahkannya sekiranya tali gantung putus semasa hukuman dijalankan dan Kerajaan Singapura membenarkan “kaedah yang menyalahi undang-undang” itu.

Menurut laporan itu, Kementerian Dalam Negeri Singapura menafikan dakwaan itu Rabu lepas, dan menyifatkannya sebagai “tidak benar, tidak berasas dan tidak masuk akal”.

LFL dalam kenyataan balasnya Rabu lepas, berkata ia tidak akan mematuhi notis pembetulan yang “menyalahi undang-undang dan menindas” itu dan meminta Kerajaan Singapura menariknya balik.

Akhbar itu berkata LFL tetap mempertahankan kenyataannya itu dan mendakwa ia berdasarkan bukti daripada bekas dan pegawai penjara Singapura yang masih berkhidmat dengan rekod perkhidmatan cemerlang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)