Singapura harap kuota VTL dinaikkan dalam masa terdekat

Singapura harap kuota VTL dinaikkan dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR,. Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon berharap kuota Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura dapat ditingkatkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Beliau memberitahu Bernama bahawa perbincangan mengenai perkara itu masih berlangsung, tetapi keputusan untuk meningkatkan jumlah VTL tertakluk kepada situasi COVID-19 di Malaysia dan Singapura.

“Kami telah mengurangkan kuota sebanyak 50 peratus, jadi langkah seterusnya mungkin kami boleh meningkatkan jumlah itu. Saya fikir itu merupakan perkara logik untuk dilakukan.

“Sama ada pertambahan kuota atau kembali kepada 100 peratus seperti sebelum ini, saya tidak pasti. Kita perlu melihat keadaan situasi semasa. Kita berharap dapat mencapai persetujuan ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Bernama Senator Datuk Ras Adiba Radzi di ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, di sini Jumaat.

Diplomat veteran itu menyatakan bahawa permintaan terhadap perjalanan antara kedua-dua negara meningkat terutama menjelang musim perayaan.

“Saya dimaklumkan bahawa kebanyakan tempahan penerbangan terutamanya pada Februari semuanya telah penuh. Mungkin kerana orang Cina berulang alik ke Singapura dan Malaysia (untuk menyambut Tahun Baharu Cina).

“Tetapi orang ramai secara umumnya gembira mendapat peluang untuk mengembara tanpa kuarantin,” katanya.

Jualan tiket bas dan kapal terbang bagi perjalanan VTL darat dan udara antara Malaysia dan Singapura dibuka semula pada 21 Jan tetapi kapasiti yang dibenarkan hanya 50 peratus.

Kedua-dua negara bertindak menggantung sementara jualan tiket VTL pada 23 Dis berikutan ancaman varian Omicron COVID-19.

Mengenai situasi COVID-19 di Singapura, Vanu berkata beliau yakin bahawa keadaan akan kembali normal tidak lama lagi, kerana rakyat Singapura sangat mematuhi peraturan bagi membendung penularan wabak.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa beberapa sekatan akan kekal untuk satu tempoh waktu yang lama seperti keperluan memakai pelitup muka,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)