Singapura lanjut tempoh sah VEP kenderaan Malaysia sehingga 30 Sept

Singapura lanjut tempoh sah VEP kenderaan Malaysia sehingga 30 Sept

SINGAPURA,. Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) secara automatik akan melanjutkan tempoh sah Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi semua kereta dan motosikal yang didaftarkan di Malaysia selama tiga bulan lagi iaitu sehingga 30 Sept 2020.

“Tidak perlu memohon untuk pelanjutan ini,” menurut LTA dalam laman sesawangnya hari ini.

Sebelum ini, pada 26 Mac 2020, LTA mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan tempoh sah VEP bagi kenderaan yang didaftarkan di Malaysia sehingga 30 Jun 2020.

Menerusi laman sesawang itu, LTA turut menyatakan bahawa fi VEP yang dikenakan sebelum 18 Mac 2020 dan selepas 14 April 2020 akan terus diguna pakai.

Ia menasihati pemandu yang ingin mengelak fi VEP terkumpul dan tidak boleh memandu sendiri kenderaan mereka ke luar dari Singapura boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan/tunda kenderaan rentas sempadan untuk membawa kenderaan mereka pulang ke Malaysia.

Pada 31 Mac 2020, LTA mengumumkan bahawa ia akan memberikan pengecualian sekali bagi fi VEP kepada semua pemilik kereta dan motosikal yang didaftarkan di Malaysia yang terpaksa terus tinggal di Singapura dari 18 Mac sehingga 14 April 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Malaysia.

Ia merupakan respons kepada maklum balas pekerja rakyat Malaysia di Singapura, majikan mereka dan kesatuan, katanya.

Ketika ini, semua kenderaan yang didaftarkan di negara asing dikehendaki membayar fi VEP sebanyak S$4 sehari bagi motosikal dan S$35 sehari bagi kereta, dengan setiap VEP sah selama 14 hari mulai tarikh masuk ke Singapura.

Fi VEP tidak boleh dibayar antara 5 petang dan 2 pagi pada hari bekerja manakala pada hujung minggu dan Cuti Umum Singapura, kenderaan dengan pendaftaran asing juga dikecualikan fi VEP selama 10 hari setiap tahun.

Pihak berkuasa mengingatkan pemandu agar mengemas kini tarikh sah cukai jalan dan insurans kenderaan menggunakan Perkhidmatan Digital VEP LTA di www.onemotoring.com.sg/ivep/insureapp sepanjang tempoh mereka berada di Singapura.

Bagi mengira jumlah yang perlu dibayar untuk kenderaan mereka, pemandu boleh menggunakan kalkulator online LTA di www.onemotoring.com.sg.

Pemandu dinasihatkan menambah nilai Kad Autopas mereka sebelum meneruskan perjalanan ke Pusat Pemeriksaan Woodlands atau Tuas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)