
Singapura rancang terbit bon biaya projek infrastruktur bagi tempoh 15 tahun akan datang
SINGAPURA,. Kerajaan Singapura berhasrat untuk menerbitkan bon baharu di bawah cadangan Significant Infrastructure Government Loan Act (Akta Pinjaman Kerajaan Infrastruktur Penting) atau SINGA, untuk membiayai projek prasarana utama jangka panjang.
“Pendekatan ini akan membolehkan kami membahagikan kos besar seperti pelaburan prasarana dengan lebih saksama merentasi generasi,” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura Heng Swee Keat semasa membentangkan belanjawan tahunan republik itu di Parlimen hari ini.
Sebelum itu, Heng berkata kerajaan telah menerbitkan bon untuk membangunkan pasaran hutang domestik dan menampung keperluan pelaburan Central Provident Fund (CPF) bagi persaraan rakyat Singapura.
“Hasil ini akan digunakan untuk membiayai aset yang penting kepada pembangunan dan kemampanan jangka panjang Singapura yang termasuk laluan MRT baharu dan prasarana untuk melindungi negara daripada peningkatan paras air laut,” katanya
Sebagai perlindungan, Heng berkata had S$90 bilion akan ditetapkan bagi pinjaman di bawah SINGA.
“Ini berdasarkan kepada jangkaan projek prasarana utama jangka panjang yang sedang dalam perancangan bagi tempoh 15 tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu Heng berkata bagi tahun kewangan 2020, negara itu menjangkakan keseluruhan defisit belanjawan sebanyak S$64.9 bilion, atau 13.9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Ini merupakan defisit belanjawan terbesar sejak kemerdekaan negara. Defisit ini disebabkan oleh hasil rendah ekoran aktiviti ekonomi yang terjejas dan perbelanjaan besar yang diperlukan bagi melaksanakan langkah-langkah untuk menangani COVID-19,” katanya.
Bagi tahun kewangan semasa, beliau berkata, ia masih lagi belanjawan pengembangan.
Beliau berkata rancangan pemulihan dengan memberi penekanan kepada transformasi ekonomi dan tenaga kerja, memperkuatkan kompak sosial dan membina masa depan yang mampan akan memberikan peningkatan fiskal yang besar kepada ekonomi.
Justeru, Heng berkata tahun kewangan semasa 2021 diunjur mencatatkan keseluruhan defisit S$11 bilion, atau 2.2 peratus daripada KDNK.
— BERNAMA