Sistem JPJEBID penyumbang tertinggi hasil kutipan JPJ

Sistem JPJEBID penyumbang tertinggi hasil kutipan JPJ

KUALA PILAH,. Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) adalah antara penyumbang tertinggi kepada kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kutipan keseluruhan direkodkan lebih RM177 juta tahun lepas .

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, jumlah itu adalah melalui 130 nombor pendaftaran siri dan setakat Mac lepas, hampir RM60 juta (34 siri) berjaya diperoleh berbanding lebih RM40 juta bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Beliau berkata, pelaksanaan JPJeBid yang menggantikan sistem tender nombor pendaftaran secara manual itu turut berjaya mengurangkan tanggapan masyarakat terhadap ketelusan keputusan tender.

“Sebelum ini, kalau mereka di Selatan Johor hendak bida nombor Perlis misalnya, mereka kena bawa borang, pergi ke bank dan sebagainya, tapi sekarang, boleh senang-lenang di rumah dan bida mana-mana nombor melalui dalam talian sahaja.

“Ini jelas menunjukkan aspek pendigitalan yang kita terapkan itu berjaya, banyak benda boleh diselesaikan dengan cepat sekali gus meningkatkan hasil dan mengurangkan ketirisan hasil negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu JPJ cawangan Kuala Pilah, di sini semalam.

Beliau berkata, selain JPJeBid, hasil kutipan juga diperolehi termasuk melalui hasil cukai, pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor yang mana JPJ berjaya mengutip hasil sebanyak RM4.1 bilion pada tahun lepas.

“Kita tidak jangka pun akan dapat jumlah itu susulan pandemik COVID-19 dan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, dan tahun ini kita sasarkan boleh cecah RM4.4 bilion berdasarkan pendekatan digitalisasi perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, Zailani berkata JPJ juga akan memperkenalkan JPJeQ bagi menambah baik sistem nombor giliran sedia ada yang mana akan dilancarkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada 12 April ini sempena sambutan Hari JPJ.

Beliau berkata, menerusi sistem itu, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR melalui telefon pintar bagi mendapatkan nombor giliran dan menyemak jangkaan tempoh menunggu sebelum berurusan di kaunter.

“Jadi, orang ramai tidak perlu lagi beratur dan menunggu lama, mereka boleh membuat urusan lain dahulu sementara nombor giliran mereka dipanggil,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada JPJ akan mempertingkatkan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar belakang memandangkan pengguna jalan raya dilihat bersikap sambil lewa terhadap pematuhannya, beliau berkata pendekatan secara advokasi dilaksanakan dengan meluas ketika ini.

Beliau berkata, pemakaian tali pinggang keledar belakang adalah penting untuk keselamatan selain tidak menolak penguatkuasaan terhadap pemakaiannya akan dilaksanakan secara menyeluruh di negara ini pada masa akan datang.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )