
Skandal rasuah ADUN Sabah: Analisis 10 video dalam masa terdekat
KUALA LUMPUR,. Laporan analisis forensik 10 rakaman video terbaharu berhubung dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berkaitan isu pelesenan perlombongan mineral dijangka siap dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, berkata analisis terperinci sedang dijalankan terhadap kesemua 10 rakaman video itu.
“Saya jangkakan laporan tersebut akan siap dalam masa terdekat kerana pihak forensik sedang menjalankan penelitian secara terperinci terhadap kesemua 10 rakaman audio itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah ke-11 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, World Trade Centre (WTC) di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini seramai lapan individu sudah dipanggil untuk memberikan keterangan termasuk satu kes baharu melibatkan tohmahan mengaitkan nama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya.
Azam sebelum ini dilaporkan berkata makmal Forensik SPRM sedang menjalankan analisis terhadap 10 video terbaharu melibatkan kes tersebut dan beliau telah mengarahkan supaya analisis itu diselesaikan dengan secepat mungkin.
Katanya analisis terhadap lapan video terdahulu mendapati ada unsur-unsur penambahbaikan, suntingan dan sebagainya serta tiada kredibiliti untuk dijadikan bahan bukti dalam siasatan selain tidak boleh diterima dalam mahkamah.
Menurut Azam, 10 video baharu berkenaan lebih panjang tetapi perlu dilihat jika ada suntingan, break in frame, doctoring, super impose, selain turut meneliti audionya.
Tahun lepas sebuah portal melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN negeri itu didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri.
Mengenai perkembangan Op Sky melibatkan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank serta organisasi perunding kewangan, Azam berkata kertas siasatan kes itu akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) minggu hadapan.
“Pegawai penyiasat kes Op Sky ini sudah melengkapkan kertas siasatan dan sedang dikemas kini. Kertas siasatan itu dijangka akan dikemukakan kepada TPR untuk kajian dalam minggu hadapan,” katanya.
Dalam operasi Op Sky Januari lepas, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Operasi yang dijalankan Bahagian Pencegahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) itu berjaya menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.
Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta seorang orang awam dengan kesemua mereka telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi itu, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank melibatkan lebih RMI7 juta.
–BERNAMA