Skuad Piala Uber Malaysia pulang awal

Skuad Piala Uber Malaysia pulang awal

CHENGDU,. Malaysia seperti dijangka gagal melayakkan diri ke suku akhir badminton Piala Uber 2024 selepas tewas 0-5 kepada Thailand pada aksi kedua peringkat Kumpulan B di Gimnasium Pusat Sukan Hi-Tech di sini hari ini.

Selepas tewas 1-4 kepada Taiwan semalam, Malaysia menurunkan perseorangan kedua K. Letshanaa sebagai perseorangan utama setelah bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei direhatkan manakala Siti Nurshuhaini Azman sebagai perseorangan ketiga.

Letshanaa memulakan saingan dengan baik tetapi untuk hanya seketika sahaja apabila perseorangan wanita No.16 dunia Supanida Katehong mengambil masa 31 minit untuk memastikan mata pertama Thailand menerusi kemenangan mudah 21-17, 21-6.

Lestshanaa, pemain Non 68 dunia, mengakui gagal menandingi lawan pada set kedua selepas Supanida mengubah corak permainan sehingga menjejaskan keyakinannya.

Thailand meneruskan penguasaan apabila beregu No.10 dunia Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai menyumbang mata kedua dengan mengecewakan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang turun sebagai beregu pertama negara 21-10, 21-14 dalam masa 33 minit.

Pemain No.18 dunia, Pornpawee Chochuwong meranapkan impian Malaysia untuk bangkit semula apabila menyumbang mata ketiga Thailand dengan menewaskan perseorangan kedua negara,Wong Ling Ching 21-15, 21-15.

Thailand terus menambah derita Malaysia apabila mengutip mata keempat menerusi gandingan Laksika Kanlaha-Phataimas Muenwong yang menewaskan Chan Wen Tse-Tan Zhing Yi 21-12, 21-8 dalam masa 29 minit.

Thailand melengkapkan jadual dengan pemain No.20 dunia Busanan Ongbamrungphan mengalahkan pemain perseorangan negara, Siti Nurshuhaini 21-15, 21-8.

Kemenangan tersebut menyaksikan Thailand melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan Australia dengan keputusan sama pada aksi pembukaan semalam.

Terdahulu, Taiwan mengesahkan slot suku akhir selepas mengalahkan Australia 4-1.

Malaysia, yang kali terakhir melangkah ke suku akhir pada edisi 2010, akan melengkapkan jadual menentang Australia sementara Thailand dan Taiwan akan menentukan juara kumpulan pada Rabu ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)