SKUASY: Terbuka Malaysia Tiga pemain Malaysia lepasi pusingan pertama

KUALA LUMPUR,. Tiga pemain kebangsaan Rachel Arnold, Aifa Azman dan Ivan Yuen memulakan cabaran mereka di Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2021 dengan langkah kanan, berikutan kemenangan dalam perlawanan masing-masing semalam.

Pada kejohanan berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, pemain bukan pilihan Rachel mengenepikan cabaran Tsz-Wing Tong dari Hong Kong 11-2, 5-11, 11-9, 11-5, untuk layak ke pusingan kedua dan bertemu pemain pilihan ketujuh Donna Lobban dari Australia, hari ini.

Sementara itu pemain ranking ke-69 dunia Aifa, menunjukkan permainan cemerlang mengalahkan pemain ke-47 dunia Mayar Hany dari Mesir, 11-8, 11-5, 11-3.

Bagaimanapun cabaran besar menanti Aifa, apabila dijadualkan bertemu pemain pilihan ketiga kejohanan Tathreb Adel juga dari Mesir, yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama.

Cabaran lelaki negara pula menyaksikan Ivan Yuen yang tewas pada set pertama kepada rakan senegara Ong Sai Hung, bertindak cemerlang untuk menang tiga set seterusnya 11-5, 11-8, 11-3 untuk layak ke pusingan seterusnya.

Hari ini, Ivan akan berhadapan pemain perseorangan utama lelaki negara Ng Eain Yow yang menduduki tangga ke-18 dunia.

Ivan yang merupakan pemain pilihan ketiga kejohanan, mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama.
Keputusan Lain
———————-
(Nota: Pemain Malaysia kecuali dinyatakan)

Kategori Lelaki:

Tsz Fung Yip (HKG) mn Addeen Idrakie 11-9, 11-9, 6-11, 11-4

Ramit Tandon (IND) mn Darren Rahul Pragasam 9-11, 11-3, 11-5, 11-2

Bernat Jaume (ESP) mn Mohammad Syafiq Kamal 11-7, 6-11, 11-9, 11-3

Kategori Wanita:

Menna Hamed (EGY) mn Ooi Kah Yan 11-6, 11-9, 11-4

Hana Ramadan (EGY) mn Chan Yiwen 11-8, 11-3, 11-9

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )