SMA Sarawak lancar sistem pengawasan digital bendung penularan COVID-19

SMA Sarawak lancar sistem pengawasan digital bendung penularan COVID-19

KUCHING,. Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) pada Khamis mengumumkan pelancaran sistem penyelesaian pengawasan digital untuk membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini, yang dianggap sebagai pencapaian luar biasa kerana berjaya dibangunkan dalam tempoh tiga hari.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, SMA berkata penyelesaian itu akan memberi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri keupayaan berskala untuk memantau penyakit berjangkit di semua pintu masuk Sarawak.
“Selain deklarasi kesihatan mandatori, individu yang diberi kebenaran memasuki Sarawak akan menerima gelang Kod QR (yang wajib mereka pakai) berdasarkan kategori iaitu individu yang sedang disiasat (PUI) dan 14 hari Notis Duduk Di Rumah (SHN),” menurut kenyataan itu.

Di bawah kategori PUI, mereka yang diletakkan di bawah kuarantin rumah atau kuarantin hospital secara dua kali sehari, si pemakai dikehendaki melaporkan situasi mereka dengan mengimbas kod QR untuk menghantar satu set maklumat.
“Data yang dikumpul akan membolehkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membuat keputusan bermaklumat serta melakukan pemeriksaan rawak terhadap pemakai.

“Lokasi pemakai juga akan membolehkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk menubuhkan hotspot, strategi utama untuk mengasingkan penularan penyakit ini,” katanya.

Variasi sistem pengesan tersebut telah digunakan di China, Singapura, Korea Selatan dan Hong Kong iaitu data yang dikumpul adalah penting untuk menguruskan bentuk dan evolusi virus.

Sementara itu, Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak berkata mereka yakin sistem itu akan memudahkan tugasan mengawal penularan wabak itu secara lebih berkesan dan tepat pada masanya memandangkan keluasan Sarawak.

“Dengan tempoh masa yang diberikan, pasukan pembangunan telah membuat pencapaian membanggakan, menghasilkan penyelesaian ini dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sebelum ini telah mengerahkan SMA untuk membangunkan sistem digital untuk mengesan individu yang sedang menjalani kuarantin untuk COVID-19, yang boleh juga digunakan untuk pusat perubatan yang ditetapkan untuk mengendalikan pesakit dijangkiti wabak itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)