SME Bank perkenal program kemudahan PKS bernilai lebih RM1.8 bilion

SME Bank perkenal program kemudahan PKS bernilai lebih RM1.8 bilion

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — SME Bank memperkenalkan Program Kemudahan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SRP) untuk membantu semua pelanggannya apabila tempoh moratorium berakhir pada 30 Sept, 2020.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata SRP akan memberi manfaat kepada 3,000 pelanggan SME Bank dengan jumlah pembiayaan bernilai lebih RM1.8 bilion.

“Pada masa yang sama usahawan perusahaan kecil dan sederhana yang lain juga digalakkan berbincang dengan penyedia pembiayaan masing-masing untuk mendapatkan bantuan pascamoraKtorium ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Aria Putera Ismail berkata seiring dengan usaha SME Bank dalam memastikan kelangsungan perniagaan usahawan PKS, semua pelanggan sedia ada layak untuk memohon bantuan yang ditawarkan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.

“Dua bentuk bantuan ditawarkan, iaitu Program ‘Indulgence’ merujuk kepada penangguhan ke atas bayaran prinsipal dan bayaran kadar keuntungan pembiayaan, dan yang kedua ialah program bayaran untuk kadar keuntungan sahaja,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh pembiayaan bagi pelanggan yang layak.

“Ini membolehkan mereka menguruskan aliran tunai dengan lebih berkesan dan merancang semula pelan perniagaan dengan lebih baik semasa tempoh pemulihan daripada COVID-19,” katanya.

Pelanggan SME Bank yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan SRP boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03-2603 7700 atau Pengurus Perhubungan cawangan mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)