SOSMA tidak perlu dimansuhkan – Mohamad Sabu

SOSMA tidak perlu dimansuhkan – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR,. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak perlu dimansuhkan dan sebaliknya hanya perlu diperbaiki, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Pada pandangan saya, ia perlu diperbaiki dari semasa ke semasa sebab SOSMA boleh disalahgunakan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau memberikan contoh bagaimana bekas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah ditahan di bawah SOSMA kerana dikaitkan dengan perhimpunan Bersih sebelum ini.

“Bagi kita, tindakan seperti itu tidak patut,” kata Mohamad.

Isu berkaitan SOSMA timbul susulan penangkapan beberapa individu mengikut akta itu baru-baru ini kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam pada itu, beberapa perkara di bawah akta berkenaan sedang dikaji semula untuk kemungkinan dipinda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata ia antara lain berkaitan tempoh penahanan dan akses guaman bagi tahanan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )