Southern Steel kurangkan kerugian bersih kepada RM37.58 juta pada suku ketiga

Southern Steel kurangkan kerugian bersih kepada RM37.58 juta pada suku ketiga

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Southern Steel Bhd (Southern Steel) telah mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM37.58 juta pada suku ketiga yang berakhir pada 31 Mac, 2020, daripada kerugian bersih RM41.57 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Perolehan merosot kepada RM470.37 juta daripada RM699.96 juta sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pendapatan yang lebih rendah pada suku semasa disebabkan oleh jumlah jualan dan harga jualan yang lebih rendah, manakala kerugian sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM38 juta yang dicatatkan pada suku ketiga berbanding dengan RM56 juta direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya disebabkan oleh peningkatan margin daripada kos inventori yang lebih rendah, katanya.

Mengenai unjuran, syarikat itu berkata pandemik COVID-19 telah memberi kesan buruk kepada operasi kumpulan terutamanya operasi kilang dihentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac, 2020.

Walaupun kumpulan itu mendapat kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyambung semula operasi, pihak pengurusan harus memahami sepenuhnya rantaian pembekalan dan permintaan pasaran sebelum pengeluaran dapat ditingkatkan, katanya.

“Oleh itu, Ahli Lembaga telah memutuskan untuk menangguhkan dahulu semua pandangan mengenai unjuran kumpulan sehingga ke satu masa apabila kesan keseluruhan wabak COVID-19 terhadap kumpulan menjadi lebih jelas.

“Sementara itu, fokus pengurusan adalah menjimatkan wang tunai dalam perniagaan. Semua pengurus kanan telah bersetuju untuk pengurangan gaji pokok secara sukarela dan kami akan terus mencari kaedah untuk mengurangkan kos, ”katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)