S&P Global semak semula tinjauan bagi 5 bank Malaysia

S&P Global semak semula tinjauan bagi 5 bank Malaysia

KUALA LUMPUR,. S&P Global Ratings telah menyemak semula tinjauan ke atas lima bank Malaysia — Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd, Public Bank Bhd, RHB Bank Bhd dan AmBank (M) Bhd — daripada “stabil” kepada “negatif”.

Pada masa yang sama, agensi penarafan itu berkata ia mengesahkan semua penarafannya ke atas bank-bank itu, memandangkan jangkaan kes asasnya bahawa profil kredit kendiri bank-bank ini mempunyai penampan mencukupi untuk bertahan dalam keadaan operasi sukar pada 2020 dan 2021.

S&P Global memberikan penarafan kredit penerbit ‘A-‘ jangka panjang dan ‘A-2’ jangka pendek ke atas Maybank, CIMB Bank, dan Public Bank, serta penarafan kredit penerbit ‘BBB+’ jangka panjang dan ‘A-2’ jangka pendek ke atas RHB Bank dan AmBank.

Tindakan penarafan ke atas bank-bank itu adalah susulan daripada semakan semula tinjauannya ke atas penarafan kredit kerajaan ke atas Malaysia (mata wang asing A-/Negatif/A-2; mata wang asing A/Negatif/A-1), mencerminkan risiko pertumbuhan perlahan tambahan kepada metrik fiskal kerajaan berikutan iklim ekonomi global yang lemah dan peningkatan tahap ketidaktentuan dasar.

“Kami menjangka bank-bank ini terus mendapat manfaat daripada sokongan luaran dalam tempoh 12-24 bulan akan datang, walaupun kepercayaan kredit kedaulatan itu sendiri akan menerima tekanan.

“Penarafan kami ke atas kesemua lima bank itu akan turun sekiranya berlaku penurunan kedaulatan dalam tempoh 18-24 bulan akan datang,” kata S&P Global dalam satu kenyataan hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )