Speaker Pulau Pinang serah notis kekosongan DUN Sungai Bakap kepada SPR

Speaker Pulau Pinang serah notis kekosongan DUN Sungai Bakap kepada SPR

GEORGE TOWN,. Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang hari ini menyerahkan notis kekosongan DUN Sungai Bakap kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff.

Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pulau Pinang Dr Siti Nazariah Abdul Zalim di perkarangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini, pada 2 petang tadi.

Law berkata penyerahan notis itu merupakan prosedur ditetapkan sekiranya terdapat mana-mana kerusi DUN kosong antaranya disebabkan berlaku kematian.

“Pemergian Allahyarham merupakan berita yang sedih untuk seluruh warga DUN dan kerugian yang besar untuk negeri kerana Nor Zamri adalah wakil rakyat yang disayangi oleh masyarakat.

“Sekarang kita perlu serahkan kepada SPR untuk laksanakan tugas mereka,” katanya pada sidang media di perkarangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut.

Nor Zamri, 56, meninggal dunia Jumaat lepas ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut dan menerima rawatan sejak awal bulan ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)