Speedy Tigers berputih mata, tewas 1-2 kepada Korea Selatan

Speedy Tigers berputih mata, tewas 1-2 kepada Korea Selatan

JAKARTA,. Skuad hoki lelaki kebangsaan terlepas peluang untuk mencipta sejarah muncul juara Piala Asia buat kali pertama apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan pada aksi final di Stadium di Gelora Bung Karno di sini, malam tadi.

Korea Selatan yang turun dengan status pasukan paling berjaya dengan empat gelaran, terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Malaysia dengan pukulan sudut penalti, tetapi penjaga gawang Muhammad Hafizuddin Othman bertindak baik untuk menyelamatkan percubaan itu.

Namun, kealpaan skuad ‘The Speedy Tigers’ pada awal suku kedua dihukum oleh pasukan bimbingan Shin Seok Kyo menerusi jaringan padang Jung Manjae pada minit ke-17.

Skuad kendalian A. Arul Selvaraj bagaimanapun menggandakan asakan dan bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Syed Mohd Syafiq Syed Cholan pada minit ke-25.

Walaupun menerima serangan bertali arus daripada Korea Selatan sepanjang suku ketiga, barisan pertahanan Malaysia tetap menjaga gawang dengan baik tanpa dibolosi.

Selepas Malaysia gagal melengkapkan dua pukulan sudut penalti secara berturut-turut pada suku terakhir Korea Selatan berjaya meraih gol kemenangan menerusi Hwang Taeil pada minit ke-52.

‘The Speedy Tigers’ berusaha untuk kembali menyamakan kedudukan dengan meningkatkan tekanan dan intensiti perlawanan, namun terpaksa berputih mata dengan tempat kedua, walaupun memegang status sebagai pasukan paling banyak menjaringkan gol pada edisi kali ini, selepas meledak 31 jaringan, dua gol lebih banyak berbanding India.

“Korea Selatan secara taktikal berjaya mengekang Malaysia untuk menambah gol dan tidak dapat dinafikan terpaksa akur dengan pasukan lawan yang lebih berpengalaman,” kata Arul Selvaraj selepas perlawanan itu.

Sementara itu, tonggak pertahanan negara Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya menjaringkan 13 gol, dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Asia kali ini, jauh meninggalkan pencabar terdekat Koji Yamasaki dari Jepun yang mempunyai enam gol.

“Pasukan telah beri yang terbaik namun kita tidak dapat mengambil peluang dengan sebaiknya,” kata Muhammad Razie, yang turut diumumkan sebagai salah seorang duta Persekutuan Hoki Asia (AHF) selepas aksi itu.

BACA: Hoki Piala Asia: Malaysia mara penentuan trofi selepas tundukkan Jepun 5-0
Pencapaian terbaik Malaysia sejak Piala Asia diperkenalkan pada 1982 adalah kejayaan muncul naib juara pada edisi terdahulu (2017) di Dhaka, Bangladesh dan tempat ketiga pada 2007 di India.

Sementara itu, juara bertahan India, menamatkan kempen di kedudukan ketiga selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas juara Sukan Asia 2018, Jepun.

Skuad negara bagaimanapun sudah mengesahkan tiket beraksi di Piala Dunia di India tahun depan selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok pasukan terbaik Piala Asia 2022.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )