Spekulasi letak jawatan tidak benar – Mohd Redzuan

Spekulasi letak jawatan tidak benar – Mohd Redzuan

KAJANG, 5 Jun — Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata spekulasi bahawa beliau ingin meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) akhir-akhir ini adalah tidak benar.

Katanya spekulasi itu hanyalah permainan pihak berkepentingan politik yang ingin menggugat kestabilan negara.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu menjelaskan beliau akan terus bekerjasama dengan barisan kabinet yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memantapkan pentadbiran dan pengurusan negara.

“Saya ingin menegaskan spekulasi itu tidak benar dan saya tidak akan letak jawatan,” katanya dalam satu sidang media di kediamannya di sini, hari ini.

Sebelum ini, spekulasi Mohd Redzuan dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh ingin meletakkan jawatan sebagai Menteri hangat diperkatakan.

Semalam, Shahruddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, namun akan kekal menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas pergolakan yang berlaku di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Redzuan berkata semua ahli parti perlu bersama-sama bersatu dalam satu barisan.

“Akar umbi sama ada yang lama, awal atau yang baharu perlu bersatu di dalam satu saf dan kepimpinan.(Ini bagi) memastikan kesinambungan Bersatu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)