SPR akan adakan mesyuarat khas bincang PRN Melaka

AYER KEROH: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Isnin.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN itu di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka. “Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pembubaran DUN itu.

“Justeru itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Bagaimanapun jelasnya, tarikh mesyuarat itu akan dimaklumkan oleh pihak SPR nanti.

Terdahulu,Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan DUN Melaka Keempat Belas berkuat kuasa pada Isnin.

Menurut Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam sidang media pada petang Selasa keputusan itu dibuat Tun Mohd Ali selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali engutuskan surat kepadanya berhubung empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )