SPRM nafi dakwaan tidak bertindak atas SD Abdul Murad terhadap Anwar

SPRM nafi dakwaan tidak bertindak atas SD Abdul Murad terhadap Anwar

PUTRAJAYA,. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ia tidak menyiasat isu yang dibangkitkan dalam akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan rekod, SPRM berkata pihaknya yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah membuka enam kertas siasatan untuk menyiasat Anwar susulan akuan bersumpah Abdul Murad pada 26 Okt 1999.

“Siasatan telah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan BNM (Bank Negara Malaysia) termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura. Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Anwar,” menurut SPRM dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyebut keenam-enam kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 yang memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak.

“Justeru, SPRM ingin menekankan bahawa dakwaan BPR atau SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung akuan bersumpah Abdul Murad adalah tidak benar sama sekali malah perkara tersebut berlaku semasa kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir berkata akuan bersumpah itu mendakwa Anwar memiliki lebih RM3 bilion dalam 20 akaun bank ketika menjadi Menteri Kewangan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )