Staf diplomatik Korea Utara dan tanggungan berlepas pulang semalam

Staf diplomatik Korea Utara dan tanggungan berlepas pulang semalam

PUTRAJAYA,. Semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara dan tanggungan mereka di Malaysia berlepas pulang ke negara mereka hari ini susulan keputusan Pyongyang pada Jumaat untuk menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.

Kesemua 33 warga Korea Utara terbabit termasuk beberapa kanak-kanak, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 11.45 pagi semalam.

Mereka dijadualkan berlepas menaiki pesawat Shanghai Airlines Penerbangan FM886 ke Pudong, China pada 4.10 petang hari ini sebelum transit di Beijing dan meneruskan perjalanan pulang ke Korea Utara.

Setiba di KLIA, mereka diiringi anggota polis ke kaunter daftar masuk untuk berlepas keluar yang mengambil masa kira-kira sejam.

Kuasa Usaha Kedutaan Korea Utara Kim Yu Song serta Kaunselor Song Ki Choi dilihat membantu staf lain dan keluarga mereka mendaftar masuk sebelum kesemuanya dibawa ke laluan VIP.

Sepanjang proses berlepas itu, mereka dibantu kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad. Bagaimanapun, pihak media yang berkumpul di KLIA bagi membuat liputan hanya dapat meninjau dari jauh berikutan kawalan polis.

Susulan keputusan Korea Utara menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, Kementerian Luar Malaysia atau Wisma Putra mengeluarkan arahan agar semua kakitangan kedutaan itu dan tanggungan mereka meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Terdahulu hari ini pada kira-kira 11 pagi, warga media yang berkumpul di hadapan Kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara, mendapati staf kedutaan itu serta tanggungan mereka meninggalkan premis berkenaan menaiki beberapa kenderaan termasuk sebuah bas yang disewa khas.

Kim juga sempat bercakap dengan pemberita, meluahkan rasa kecewanya terpaksa meninggalkan Malaysia.

Pada Jumaat, Pyongyang mengumumkan ia menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia apabila pada awal bulan ini mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada hari sama, Wisma Putra dalam kenyataannya berkata ia kesal dengan keputusan Korea Utara itu dan sebagai tindak balas, Malaysia akan menutup kedutaan negara berkenaan di sini yang operasinya sudah digantung sejak 2017.

Malaysia dan Korea Utara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1973 serta mengecapi pelbagai pencapaian diplomatik dan perdagangan hinggalah pada 2017 apabila Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Malaysia.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )