StanChart sumbang AS$1 bilion untuk biayai syarikat bantu perangi COVID-19
KUALA LUMPUR, 16 April — Standard Chartered (StanChart) telah mengumumkan akan biayai sebanyak AS$1 bilion untuk syarikat-syarikat yang menyediakan barang dan perkhidmatan untuk membantu memerangi COVID-19 dan mereka yang merancang menghasikan produk yang mendapat permintaan tinggi untuk memerangi wabak yang melanda seluruh dunia itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Korporat, Institusi Perbankan dan Perdagangan StanChart, Simon Cooper berkata ia memerlukan kos bagi syarikat untuk beralih ke barangan yang mendapat permintaan tinggi itu dan kumpulan itu ingin membantu dan memberi sokongan kepada pengilang serta penyedia perkhidmatan yang mereka perlukan.
“Kami berhasrat untuk menyediakan kadar yang istimewa, sekurang-kurangnya pembiayaan AS$1 bilion kepada syarikat tersebut dalam bentuk pinjaman, pembiayaan import/eksport atau kemudahan modal kerja yang mereka gunakan untuk operasi perniagaan harian untuk membantu mereka, dan membantu pengilang sedia ada mendapatkan produk mereka untuk dipasarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat-syarikat yang mempunyai skop termasuk pengeluar dan pengedar dalam industri farmaseutikal dan penyedia penjagaan kesihatan, serta syarikat bukan perubatan yang telah menawarkan diri untuk menambahkan kemampuan ini kepada pengeluaran pembuatan mereka.
Produk termasuk ventilator, topeng muka, peralatan pelindung, cecair pembasmi kuman dan lain-lain.
Beliau berkata bahawa kumpulan itu berusaha untuk mengenal pasti syarikat yang mungkin ingin beralih atau menambahkan produk antivirus ke dalam pembuatan mereka, tetapi belum menunjukkan bahawa mereka akan melakukannya ketika ini.
Pengilang dan penyedia perkhidmatan barangan serta perkhidmatan tempatan yang menyumbang dalam memerangi COVID-19 boleh menghubungi Standard Chartered Malaysia di laman web, [email protected] untuk mengetahui bagaimana mereka boleh memohon inisiatif pembiayaan tersebut.
— BERNAMA