Status bangunan MBMB diputuskan selepas isu persempadanan diwartakan

MELAKA,. Status projek pembinaan bangunan baharu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Klebang di sini, akan diputuskan selepas isu persempadanan kawasan antara MBMB dan Majlis Hang Tuah Jaya (MPHTJ) diwartakan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata projek pembinaan yang dihentikan pada 2018 itu perlu mengambil kira pelbagai perkara, antaranya nilai pasaran hartanah, nilai pasaran cukai, bebanan kerja serta nilai aset domestik dan aset komersial kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Setakat ini kita baharu mendapat keputusan persempadanan semula kawasan antara MBMB dan MPHTJ daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada minggu lepas dan keperluan untuk meneruskan pembinaan bangunan baharu MBMB itu, bergantung pada pewartaan sempadanan berkenaan.

“Jika bangunan MBMB kekal di kawasan sedia ada, maka projek bangunan baharu MBMB di Klebang tidak akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat sempena pembukaan rasmi ‘Leypark Station’ di Dataran Ayer Keroh di sini malam tadi.
Bangunan sedia ada MBMB di Ayer Keroh terletak di dalam kawasan MPHTJ dan berhadapan dengan bangunan MPHTJ.

Projek pembinaan bangunan baharu MBMB setinggi tujuh tingkat di kawasan seluas enam hektar di Klebang yang menelan kos RM140 juta dihentikan pada 2018 atas beberapa faktor, termasuk kos kira-kira RM400 juta yang perlu ditanggung MBMB dalam tempoh 25 tahun sekiranya pembinaan bangunan baharu itu diteruskan.

Dalam perkembangan lain, Zaidi berkata kerajaan negeri menerusi empat PBT di negeri itu sedang giat melaksanakan usaha mentransfromasikan kawasan perniagaan di sekitar negeri itu, khususnya melibatkan peniaga atau penjaja kecil.

Beliau berkata inisiatif itu selaras dengan Manifesto Barisan Nasional (BN) di bawah teras kedua, iaitu menyokong kelangsungan perniagaan dengan memperbanyak tempat berniaga yang dilengkapi infrastruktur asas yang lengkap, dalam tempaoh 100 hari pentadbiran kerajaan negeri di bawah BN.

“Transformasi ini meliputi membangunkan pusat penjaja yang mempunyai infrastruktur lengkap, selain menyusun semula pasar malam, pasar serta bazar ramadan pada bulan puasa nanti.

“Peluang perniagaan ini juga meliputi peluang baharu dan lama yang diwujudkan di semua kawasan PBT, kerana kita mahu membangun dan membantu meringankan beban peniaga sedia ada dan usahawan baharu, dari aspek mencari pendapatan tambahan terutama dalam tempoh penularan COVID-19 ini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman berkata ‘Leypark Station’ yang berkonsepkan pasar malam seperti Jonker Walk, bukan sahaja menjadi destinasi pelancongan baharu di kawasan pentadbiran PBT berkenaan, malah ia membuka ruang kepada lebih ramai penjaja kecil atau golongan muda untuk menambah pendapatan.

Beliau berkata kawasan berkonsepkan rekreasi dan peniagaan yang diwujudkan di bawah Rancangan Kawasan Khas Pelancongan MPHTJ itu, beroperasi empat hari seminggu bermula Khamis malam telah menarik lebih 1,000 pengunjung sejak ia mula dibuka sebulan lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )