Suami isteri diperintah bela diri tuduhan terima deposit haram RM364,000

Suami isteri diperintah bela diri tuduhan terima deposit haram RM364,000

KUALA LUMPUR,. Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan sepasang suami isteri membela diri atas satu pertuduhan menerima deposit RM364,000 daripada orang awam tanpa lesen sah, sembilan tahun lepas.

Hakim Mohd Kafli Che Ali memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat telekomunikasi, Ho Kok Keong, 62, dan suri rumah, Koh Orchid, 56, di akhir kes pendakwaan.

“Setelah mendengar keterangan lapan saksi pendakwaan serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dalam kes ini dan kedua-dua tertuduh dipanggil membela diri.

“Mereka mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan, memberi keterangan secara tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pendakwaan atau memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk mengemukakan soalan semasa pemeriksaan balas,” katanya.

Peguam Sean Dudley mewakili kedua-dua tertuduh berkata anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi.

Mohd Kafli menetapkan prosiding membela diri selama dua hari pada 13 dan 14 Mac ini.

Pada 12 Ogos 2022, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan menerima wang deposit berkenaan daripada seorang pengajar bidang teknologi maklumat berusia 49 tahun, secara berperingkat tanpa lesen sah antara 16 Dis 2015 dan 16 April 2016 di sebuah restoran di Sentul.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)