Suami isteri ‘PJJ’ dibenar rentas negeri mulai esok

Suami isteri ‘PJJ’ dibenar rentas negeri mulai esok

KUALA LUMPUR,. Berita baik untuk pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas tuntutan kerja, kerajaan kembali membenarkan individu berkenaan melakukan perjalanan rentas negeri mulai esok.

Sebelum ini (21 Mei), kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan sama sekali pergerakan merentas negeri buat sementara waktu bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 menjelang sambutan Aidilfitri pada 24 Mei lepas.

Tetapi, disebabkan lambakan kenderaan yang ‘curi-curi’ merentas negeri tanpa memberikan alasan munasabah, kerajaan menarik balik kelonggaran berkenaan.

Seperti kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keistimewaan itu hanya diberikan kepada pasangan jarak jauh (PJJ) kerana bekerja di dua negeri berbeza.

Namun bagi mereka yang masih bujang, sabarlah kerana giliran anda pasti tiba nanti. Jadi terus patuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, perjalanan rentas negeri itu terhad, untuk seminggu sekali sahaja dan individu ‘istimewa’ terbabit perlu mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan kebenaran perjalanan merentas negeri.

Bagi urusan kerja dan kes-kes kecemasan seperti kematian atau perubatan, tiada masalah untuk perjalanan merentas negeri asalkan ada surat kebenaran dikeluarkan oleh pihak polis.

Bermula esok juga, institut memandu dan latihan serta proses pelesenan pemandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kembali beroperasi dari 8 pagi sehingga 4 petang, namun dilakukan dengan standard prosedur operasi (SOP) yang ketat.

Berdasarkan perkongsian di media sosial baru-baru ini, beberapa pejabat JPJ bagai hendak pecah pintu apabila diserbu orang ramai selepas kembali dibuka pada 17 Mei. Diharapkan orang ramai usahlah ‘kalut’ menyelesaikan urusan yang tertangguh sebelum PKP.

Hari ini hari ke-28 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sejak 4 Mei lepas, memperlihatkan Malaysia kini dalam fasa pemulihan terakhir susulan kejayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki hari ke-75.

Buktinya, pada sidang media semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu jumlah kes positif COVID-19 kembali mencatat dua angka dengan 30 kes, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif terkini ialah 7,762 kes dengan kematian masih kekal 115 kes.

Pastinya, masyarakat mula menarik nafas lega apabila kes baharu positif dan kes kematian angkara wabak itu menunjukkan trend menurun sejak dua minggu kebelakangan ini namun ingatlah perang melawan COVID-19 belum berakhir.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )