Suburkan peranan masjid – Putera Saudi

KUALA LUMPUR,. Usaha bagi menyuburkan peranan masjid terutama di kawasan kejiranan kediaman, dengan aspek penjagaannya dikaitkan dengan penduduk di sekitar kejiranannya, kata Putera Arab Saudi Sultan bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Abdullatif Al Forzan bagi Seni bina Masjid (AFAMA) berkata satu sistem seharusnya diwujudkan bagi memastikan penyertaan keluarga dan anak-anak muda dalam menyumbang tenaga untuk berkhidmat di masjid-masid sebagai tanggungjawab asas.

“Ia tidak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata,” katanya semasa berucap di majlis Persidangan Antarabangsa kedua berhubung Seni bina Masjid (ICMA) 2019 di sini pada Isnin.

Putera Sultan turut berkata adalah penting untuk membangunkan persekitaran masjid dengan mesej-mesej yang hendak disampaikan.
“Masyarakat sekeliling perlu bersikap baik dan penyayang… dan memupuk perpaduan di kalangan mereka,” katanya.

Putera Sultan seterusnya berkata adalah penting menjadikan seni bina masjid sepadan dengan persekitarannya.

“Ia sepatutnya sesuai dengan teknik pembinaan tempatan dan harus seiring dengan perkembangan bahan dan teknologi,” katanya.

Masjid Daing Abdul Rahman di Iskandar Puteri, Johor, (sebelum ini dikenali sebagai Surau Nusa Idaman) adalah satu-satunya masjid di Malaysia yang disenarai pendek untuk AFAMA 2019.

Sebanyak 201 masjid di 48 negara Islam dilaporkan telah dicalonkan di peringkat pertama untuk anugerah itu, sebelum jumlahnya ditapis sehingga menjadi 27 masjid daripada 16 negara, dan pemenangnya akan diumumkan pada bulan Mac nanti.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )