
‘Sudah Tiba Masanya, Ini Penggal Terakhir Saya Berkhidmat’ – Muhyiddin
KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal menjadi medan perjuangan terakhir beliau dalam kancah politik tanah air.
Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan beliau mengambil keputusan tersebut termasuklah mengambil kira usianya yang sudah mencecah 75 tahun.
Selain itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, beliau juga percaya bahawa partinya memiliki ramai tokoh berpengalaman di setiap lapisan termasuk pemimpin wanita dan juga muda.
“Saya fikir saya sudah berkhidmat untuk negara lama juga, hampir 50 tahun dan disebabkan saya yakin masa depan parti ada (pada) kalangan pemimpin sedia ada untuk meneruskannya. “Saya tidak wajar bertongkat langit sampai dah tua bangka… jangan salah faham, macam tak ada orang lain saja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Jamek Panchor dekat Pagoh, Johor, hari ini. Bagaimanapun Muhyiddin yang juga penyandang Parlimen Pagoh berkata, buat masa ini beliau masih diminta untuk meneruskan perjuangan politik.
Justeru katanya, beliau menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi tersebut. “Apa pun sementara itu kita berhadapan pilihan raya, saya diminta untuk meneruskan dan menawarkan diri untuk bertanding di sini.
“Tak tahulah jika orang Pagoh kata tak nak, saya balik kampunglah,” katanya dalam nada berseloroh.
Tegas beliau, kenyataan yang dibuatnya mengenai perkara itu adalah ikhlas.
“Time is up (sudah tiba masanya), this is my last term to serve (ini adalah penggal terakhir saya untuk berkhidmat) saya serah kepada pengundilah nak saya lagi ke tak,” katanya.
– Getaran, 14 Oktober 2022