
Jalur Lebar Gentian Optik Dipasang di Sekolah Johor, Buka Ruang Pendidikan Digital Lebih Luas
KULAI – Akses pendidikan digital di sekolah luar bandar Johor dijangka meningkat menerusi pelaksanaan projek PoP Fasa 2, yang menyaksikan 568 lokasi terpilih, termasuk 17 sekolah yang sudah menerima sambungan jalur lebar gentian optik.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, 12 sekolah di kawasan Parlimen Kulai akan berfungsi sebagai pusat utama infrastruktur digital untuk kawasan sekitar.
“Kami mahu pastikan murid-murid di luar bandar mempunyai peluang pembelajaran yang sama seperti di bandar, terutamanya dari segi akses internet yang stabil dan pantas,” katanya dalam satu sidang media di NADI Bandar Senai.
Beliau menambah, pusat-pusat NADI akan memainkan peranan penting dalam menyediakan kelas dalam talian, latihan kemahiran digital dan peluang kepada pelajar serta ibu bapa untuk mendalami bidang keusahawanan moden.