
Sukan Asia 2026: ‘The Terminator’, ‘The Pocket Rocketwoman’ calon terbaik peroleh pingat acara berbasikal
KUALA LUMPUR,. Dua pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dikenal pasti sebagai sandaran terbaik negara untuk memburu pingat di Sukan Asia 2026 di Jepun.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, ini menjadikan skuad berbasikal trek negara menjadi tumpuan utama pada temasya sukan yang diadakan empat tahun sekali itu.
“Kita akan membuat pemilihan (pelumba) untuk acara lebuh raya, tetapi fokus utama kita adalah pada acara trek,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sukan Asia 2026 bakal berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober di Aichi-Nagoya.
Muhammad Shah Firdaus yang digelar “The Terminator” pernah meraih tiga pingat dalam Sukan Asia edisi terdahulu, termasuk satu pingat perak dalam acara pecut berpasukan pada 2018, diikuti dua pingat gangsa dalam acara pecut individu dan keirin pada edisi 2022.
Pelumba berusia 29 tahun itu berada dalam fasa terbaik kariernya apabila menduduki ranking ketiga dunia bagi acara pecut elit lelaki dan baru-baru ini memenangi pingat emas dalam acara keirin lelaki di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye, bulan lepas.
Kemenangan anak kelahiran Johor di Turkiye itu ialah pingat emas sulungnya di kejohanan anjuran UCI dan pencapaian terbesar dalam kariernya setakat ini.
Sementara itu, Nurul Izzah Izzati yang juga dikenali sebagai “The Pocket Rocketwoman” mempamerkan prestasi cemerlang di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Nilai, Negeri Sembilan.
Pelumba berusia 21 tahun dari Kedah itu membawa pulang dua pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa, selain mencipta rekod kebangsaan dan Asia dalam acara pecut individu, pecut berpasukan dan ujian masa satu kilometer.
Amarjit berkata, PKBM berpuas hati menyasikan kedua-dua pelumba tersenarai antara 16 atlet dalam Program Road to Gold (RTG) sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Kami berharap mereka akan menerima sokongan penuh daripada program RTG. Saya rasa keputusan ini amat bertepatan,” katanya.
— BERNAMA