Sukan Olimpik, Paralimpik 2020 beri impak membanggakan Malaysia

PUTRAJAYA,. Temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 telah memberi impak yang sangat membanggakan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar).

“Ketika seluruh dunia berperang melawan pandemik COVID-19, mereka berlatih dalam keadaan serba getir, demi mengangkat nama negara,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Malaysia merangkul pingat perak dan gangsa, manakala pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pula, Malaysia meraih lima pingat yang tiga daripadanya pingat emas dan dua perak.

Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Malaysia meraih pingat perak menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan pingat gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki.

Sukan Paralimpik Tokyo pula menyaksikan tiga pingat emas diraih melalui Abdul Latif Romly menerusi acara lompat jauh lelaki T20, Cheah Liek Hou dalam acara badminton perseorangan lelaki SU5 dan menerusi jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin.

Pingat perak Paralimpik diperoleh menerusi Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia).

“Marilah kita memberikan penghormatan kepada mereka yang telah menumpahkan bakti dan jasa kepada negara,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata pencapaian dalam kedua-dua temasya itu adalah hasil prinsip kebersamaan semua pihak khususnya para atlet dan jurulatih masing-masing.

“Kita perlu melihat kesungguhan ini pada diri setiap atlet, termasuk mereka yang pulang tanpa membawa sebarang pingat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )