Sukan SEA: Farah Ann mungkin tidak ke Hanoi

Sukan SEA: Farah Ann mungkin tidak ke Hanoi

KUALA LUMPUR: Harapan untuk menyaksikan Ratu Gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi beraksi pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, pada 12-23 Mei ini semakin pudar.

Malah, Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril memberi bayangan bahawa pemenang emas Sukan SEA 2019 itu mungkin tidak menyertai temasya dwitahunan tersebut.

Bagaimanapun, Afrita berkata peluang masih terbuka untuk Farah Ann menyertai Sukan SEA pada saat-saat akhir jika beliau menjelaskan status terkininya bersama skuad kebangsaan sebelum 12 Mac (Sabtu) ini, iaitu tarikh akhir pendaftaran oleh pihak penganjur sukan itu.

“Saya boleh memberi bayangan bahawa Farah Ann mungkin tidak dapat bertanding dalam Sukan SEA.. tetapi kita masih ada lagi tiga hari untuk membuat keputusan.

“Namun, dalam masa tiga hari, sama ada kita ada pilihan atau tidak (untuk menyenaraikan Farah Ann dalam pasukan), tertakluk kepada Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada pihak teknikal dan para jurulatih dan mereka juga akan meneliti laporan perubatannya, sama ada beliau bersedia atau tidak untuk bertanding,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan MGF telah menghantar senarai akhir gimnas yang akan mewakili negara ke temasya tersebut kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam (8 Mac).

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria turut memaklumkan pada sidang media semalam bahawa status penyertaan Farah Ann di Vietnam akan hanya diketahui pada Sabtu ini, berikutan badan induk itu masih menunggu kata putus daripada MGF.

Kedudukan gimnas kelahiran Selangor itu dalam pasukan kebangsaan masih menjadi teka-teki selepas beliau dilaporkan tidak mengikuti latihan selama tiga minggu dan dikatakan berkemungkinan untuk bersara.

Pada 1 Mac, Afrita Ariany berkata Farah Ann mungkin menimbangkan untuk bersara kerana usia atau kecederaan, namun katanya, MGF masih terbuka untuk perbincangan sekiranya beliau memerlukan bantuan.

-BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)