Sukan SEA: Mayweather inspirasi Qaiyum cipta kejutan di Hanoi

Sukan SEA: Mayweather inspirasi Qaiyum cipta kejutan di Hanoi

KUALA LUMPUR: Sebut sahaja sukan tinju, nama bekas petinju profesional, Floyd Mayweather Jr. pastinya meniti di bibir pencinta sukan itu.

Mana tidaknya, Mayweather adalah petinju terhebat sepanjang zaman dengan rekod sempurna 50 perlawanan berturut-turut tanpa tewas sebelum mengumumkan persaraannya pada 2017.

Maka, tidak hairanlah figura dari Amerika Syarikat itu menjadi ikutan petinju-petinju dari luar termasuklah atlet muda Malaysia, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin.

Muhammad Abdul Qaiyum mengakui sering merujuk video Mayweather sebagai panduan baginya untuk cuba membuat kejutan pada penampilan pertamanya di Sukan SEA Hanoi, Vietnam bulan depan.

“Mayweather adalah idola saya dalam sukan tinju. Beliau mempunyai cara tersendiri dalam aspek tumbukan, serangan serta mengelak.

“Walaupun Sukan SEA mahupun Sukan Olimpik di bawah kategori amatur dan Mayweather pula beraksi di peringkat profesional, namun kemahiran dimilikinya boleh diguna pakai dalam gelanggang,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Walaupun belum pernah beraksi di pentas Sukan SEA, petinju berusia 20 tahun itu dilihat bersemangat tinggi dan berazam untuk cuba merangkul emas dalam kategori 52 kilogram (kg) di Hanoi.

Bagaimanapun, atlet dari Perak itu menjangkakan bakal menghadapi tentangan sengit dari petinju tuan rumah, Thailand dan Filipina dalam usahanya untuk mencipta kejayaan manis dalam acara yang dijadual berlangsung di Gimnasium Bac Ninh itu.

“Saya bukanlah yang terbaik tetapi apa yang pasti saya akan buat sehabis baik dan termampu saya untuk hadiahkan pingat emas buat negara,” tambahnya.

Beliau yang berpuas hati dengan latihan bersama kem tinju kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan berkata tidak berdepan sebarang cabaran biarpun terpaksa menjalani persiapan akhir di bulan Ramadan menjelang Sukan SEA Hanoi.

Sukan SEA Hanoi dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.

Berikut adalah profil Muhammad Abdul Qaiyum:

Nama: Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin
Umur: 20 tahun
Tarikh lahir: 2 Disember 2001
Tempat lahir: Ipoh, Perak
Bilangan adik beradik: Enam (anak ketiga)
Hobi: Memancing
Mula wakili negara: 2017
Pencapaian terbaik: Juara Pesta Tinju Pulau Pinang 2018

-BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)