Sukan SEA – Olahraga: Hakimi pertahan emas

Sukan SEA – Olahraga: Hakimi pertahan emas

MANILA,. Muhammad Hakimi Ismail pada Selasa melakar catatan terbaik musim ini untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA yang dimenanginya sejak dua edisi lalu.

Dalam aksi di Stadium Olahraga New Clark, Filipina itu, percubaan ketiga memberi atlet berusia 28 tahun itu pulangan terbaik apabila merakam 16.68 meter untuk meninggalkan pencabar terdekatnya, Diones Mark Harry.

Atlet tuan rumah itu melakukan catatan 16.42m disusuli peserta Indonesia, Sapwaturrahman, dengan 16.21m.

Seorang lagi atlet negara, Andre Anura Anuar, pula meraih tempat kelima.

“Tahun ini saya bermula dengan prestasi yang agak baik apabila merekodkan 16.47m dalam kejohanan di Australia.

“Dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) pula, prestasi saya sedikit teruk.

“Mungkin kerana saya baru tukar jurulatih jadi saya perlu ambil masa untuk sesuaikan dengan corak latihan yang baru.

“Kini kami sudah membentuk keserasian dan saya berharap persembahan akan bertambah baik,” kata Muhammad Hakimi.

Tambahnya mengenai kejayaan hatriknya sejak Sukan SEA Singapura 2015: “Emas ini amat istimewa sebab merupakan emas yang ketiga. Sedangkan yang emas yang kedua pun saya cukup gembira.

“Saya sangat bersyukur dengan pencapaian hatrik emas ini memandangkan saya sudah pun berkahwin dan kini anak sudah masuk dua orang.

“Isteri saya banyak berkorban,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)