Sultan Johor titah semua aktiviti selam di perairan Mersing dihentikan sementara

Sultan Johor titah semua aktiviti selam di perairan Mersing dihentikan sementara

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menitahkan kesemua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan buat sementara waktu.

Baginda bertitah ini berikutan insiden kehilangan empat penyelam sekitar Pulau Tokong Sanggul yang terletak berhampiran Pulau Sibu semalam.

“Saya mahu kesemua aktiviti menyelam dihentikan sementara sehingga kita dapat kenal pasti apa sebenarnya yang berlaku pada mereka. Aktiviti menyelam tidak boleh diteruskan jika tahap keselamatan diragui.

“Peraturan-peraturan aktiviti menyelam oleh pihak berkuasa juga mesti dikaji semula secara menyeluruh sebelum ia boleh dibenarkan beroperasi semula,” titah Sultan Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda hari ini.

Baginda bertitah peraturan yang telah dikaji semula juga perlu diumumkan bagi mengembalikan keyakinan orang ramai serta pelancong.

Sultan Johor berkata demikian susulan insiden tengah hari semalam membabitkan empat penyelam warga asing yang hilang ketika melakukan aktiviti itu di Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing.

Setakat ini, hanya jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat hari ini di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, kira-kira 30 batu nautika dari lokasi kejadian.

Untuk rekod, Mersing mempunyai lima pulau utama iaitu Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.

-BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )