Sultan Nazrin berangkat ke majlis penutup Tilawah al-Quran Perak

Sultan Nazrin berangkat ke majlis penutup Tilawah al-Quran Perak

MAIPOH,. Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke majlis penutup serta penyampaian hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin lepas di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru di sini malam tadi.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Idris Shah, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, barisan anggota exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, Imam Besar Masjid Negeri Abdul Farid Salleh serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.

Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan muncul johan qari dan Nurul Syafiqah Nardi pula johan qariah dengan masing-masing meraih hadiah wang tunai RM10,000 berserta pakej menunaikan haji, plak dan sijil.

Naib johan qari dimenangi Mohamad Sahran Termizi dan Mohd Kamaruzaman Daud di tempat ketiga, manakala naib johan qariah dimenangi Munirah Razali dan Norhazira Nabila Mohamed Kamel di tempat ketiga.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000 berserta plak dan sijil.
Bagi hafazan pula, Amril Syariff Ahmad muncul johan qari bagi kategori 1-30 juzuk manakala qariah hafazan pula di menangi Adibah Husni Ahmad Rozaini.

Selain menerima hadiah wang tunai dan pakej menunaikan haji, pemenang juga bakal mewakili Perak ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Johor pada Jun depan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)