Sumbangan aktiviti pengisaran, pendapatan eksport koko dijangka turun 18 peratus  – KPPK

Sumbangan aktiviti pengisaran, pendapatan eksport koko dijangka turun 18 peratus – KPPK

JOHOR BAHRU,. Sumbangan aktiviti pengisaran dan pendapatan eksport daripada koko dan produk-produk berasaskan koko dijangka menyusut sebanyak 18 peratus tahun ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan COVID-19.

Sehubungan itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman mengadakan lawatan kerja hari ini bagi meninjau sendiri industri koko, khususnya untuk memantau tahap pematuhan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam kenyataan hari ini berkata lawatan itu juga bertujuan untuk mendengar sendiri cabaran yang dihadapi pemain industri koko semasa tempoh penguatkuasaan PKPB di samping potensi industri koko dan coklat negara.

Antara syarikat yang dikunjungi Mohd Khairuddin adalah Guan Chong Cocoa Manufacturer Sdn Bhd di Pasir Gudang iaitu syarikat pengisar koko terbesar Malaysia dan syarikat pengisar keempat terbesar dunia dengan kapasiti pengisaran sebanyak 250,000 tan metrik setahun.

Guan Chong Cocoa Manufacturer merupakan pembekal utama kepada syarikat-syarikat coklat dan industri makanan dan minuman seperti Nestlé, Mars, Hershey’s dan Cadbury.

Selain itu, beliau turut melawat syarikat HSRICH Chocolate iaitu usahawan bimbingan di bawah Program Pembangunan Usahawan Coklat, Lembaga Koko Malaysia.

Menurut KPPK, lawatan kerja sehari itu berjaya meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin kepada satu tahap yang lebih baik terutamanya antara kementerian dengan pihak industri bagi merancakkan lagi pembangunan industri koko dan pembuatan coklat khususnya di Johor.

“Kementerian juga komited untuk memperkasakan industri koko di peringkat huluan di samping hiliran menerusi program integrasi tanaman dengan komoditi yang lain sebagai hala tuju baharu Rancangan Malaysia Ke-12,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPPK, terkini, Malaysia merupakan negara pemproses biji koko kedua terbesar di Asia dan ketujuh dunia dengan menguasai 22 peratus pasaran produk berasaskan koko bagi rantau Asia dan Oceania.

Nilai eksport coklat pada tahun lepas adalah RM1.14 bilion berbanding RM1.03 bilion pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 10.7 peratus, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )