Sumbangan berterusan untuk petugas, insan memerlukan menjelang Ramadan
KUALA LUMPUR, 23 April — Masyarakat yang terbeban dan yang memerlukan berikutan pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan petugas barisan hadapan terus dibantu bagi menjalani ibadah puasa yang dijangka bermula esok.
Di KOTA KINABALU, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah mengagihkan bantuan bekalan makanan seperti gula, minyak masak, beras kepada 40 keluarga dari Pulau Sepanggar yang terjejas berikutan penguatkuasaan PKP.
Pengarahnya, Samin Ongki berkata YADIM Sabah menjalinkan kerjasama strategik dengan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam misi menyampaikan sumbangan itu bagi memastikan golongan terbabit yang tinggal 20 minit dari Kota Kinabalu mempunyai bekalan makanan mencukupi bagi menyambut Ramadan.
Di ibu negara, Kakitangan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pula bersama-sama menyumbang RM6.4 juta menerusi inisiatif sumbangan gaji sukarela yang akan disalurkan ke Tabung COVID-19 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata jumlah keseluruhan sumbangan (RM37.8 bilion) juga termasuk peralatan dan bekalan perubatan kritikal bernilai RM20 juta bagi membantu usaha hospital dan petugas barisan hadapan. Ini dilaksanakan berperingkat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan NADMA.
Sementara itu, Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) telah menyumbang RM100,000 kepada Medical Relief Society Malaysia (MERCY Malaysia) bagi pembelian 200 peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas penjagaan kesihatan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan MCCC hari ini, ia juga sebagai sokongan MERCY Malaysia kepada Kementerian Kesihatan, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) dan NADMA terhadap pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, Persatuan Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM menyediakan Tabung Bantuan COVID-19 bagi menyumbang kepada pelajar UPNM yang masih berada di dalam kampus dan luar kampus serta pelajar daripada golongan B40.
UPNM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan Naib Canselor, Lt Jen Datuk Abdul Halim menyarankan pihak alumni supaya turut menghulurkan bantuan melalui sumbangan komputer kepada pelajar golongan B40 bagi tujuan pembelajaran secara dalam talian.
Nak Makan, platform baharu perkhidmatan makanan di bawah Nak Beli yang disokong MY E.G. Services Bhd (MYEG) menaja 10,000 pek makanan sepanjang Ramadan menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya iaitu ‘Nak Makan #KitaShare’.
Dalam satu kenyataan hari ini, MYEG memaklumkan orang ramai boleh mencalonkan mana-mana individu atau pertubuhan di sekitar Lembah Klang untuk menerima tajaan makanan, iaitu mereka yang terkesan akibat PKP mahupun pekerja barisan hadapan.
Coway Malaysia turut memberikan sumbangan wang sebanyak RM300,000 kepada Kementerian Kesihatan dalam satu majlis ringkas diadakan baru-baru ini, dan menurut Pengarah Urusannya Kyle Choi Ki Ryong Coway amat menyedari betapa pentingnya meningkatkan usaha negara ketika waktu kritikal ini.
Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA) hari ini menyerahkan kumpulan pertama 100,000 penutup kepala, 5,000 ‘jumpsuit’ dan 105,000 beg sisa klinikal kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di Putrajaya.
Presidennya, Datuk Lim Kok Boon berkata PPE juga antara barangan sumbangan yang diberikan bagi memastikan petugas barisan hadapan di hospital dibekalkan dengan barangan yang diperlukan itu dalam memerangi COVID-19.
Sementara itu, Wellous Sdn Bhd dengan usahasama SVO Group Berhad pula menderma peralatan PPE kepada barisan hadapan Hospital Sungai Buloh, Selangor dengan agihan bekalan secara berperingkat, iaitu fasa pertama hari ini mencakupi 100,000 keping penutup hidung dan mulut tiga lapis.
Di KOTA BHARU, Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) dengan kerjasama Yayasan Che Mas menyumbang lebih 100 pek bekalan makanan asas kepada golongan memerlukan untuk menyambut Ramadan dalam tempoh PKP.
Yang Dipertuanya Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata pihaknya turut memberi sumbangan sama kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu bagi menghargai khidmat yang dicurahkan mereka sepanjang tempoh itu.
Yayasan Kasih Kanser dan Kronik (YKKK) Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) hari ini menyumbang 70 kotak makanan tengah hari kepada petugas media Kelantan, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.
Beliau berkata kotak makanan tengah hari itu disediakan oleh Min House Camp yang mengandungi nasi putih, ayam masak lemak cili api dan ulam segar sebagai menghargai peranan petugas media yang melaporkan perkembangan terkini mengenai wabak COVID-19.
Di GEORGETOWN, kira-kira 2,783 pekerja Bangladesh yang terjejas berikutan PKP akan menerima bekalan makanan sumbangan daripada Konsulat Republik Rakyat Bangladesh di Pulau Pinang bagi membantu pekerja yang miskin tegar.
Konsul Kehormat Bangladesh di Pulau Pinang Datuk Shaik Ismail Allaudin berkata setiap penerima akan menerima bekalan makanan asas yang akan bertahan untuk beberapa minggu.
— BERNAMA