Syaidatul Afifah capai impian, tubuh akademi boling untuk anak muda

Syaidatul Afifah capai impian, tubuh akademi boling untuk anak muda

KUALA LUMPUR,. Meskipun sudah bersara daripada skuad kebangsaan, bekas bintang boling negara Syaidatul Afifah Badrul Hamidi terus mencurah bakti dengan menubuhkan Akademi Syaidatul Afifah (ASA) untuk mengasah bakat anak muda.

Bekas juara Kejohanan Boling Dunia 2017 berusia 30 tahun itu berkata dengan penubuhan akademi berkenaan membolehkan beliau mencapai impiannya untuk berkongsi pengalaman serta ilmu kepada generasi pelapis sukan terbabit.

“Saya ingin melahirkan pemain boling bertaraf profesional, semestinya daripada akademi ini kita akan melahirkan atlet yang berdisplin… jadi hari ini bukan sahaja bagi mereka yang berpotensi tetapi mereka yang tidak tahu apa-apa mengenai boling juga saya akan ambil untuk dilatih.

“Untuk akademi kita ada tiga fasa, pertama kita akan ajar asas tentang boling selama tiga bulan, sekiranya tidak cukup kita akan latih mereka sehingga mereka layak untuk fasa kedua, fasa yang lebih ke hadapan tentang langkah dan kemahiran yang penuh,” katanya kepada pemberita semasa program pencarian bakat baharu ASA di sini semalam.

Bekas pemain kelahiran Ipoh itu berkata, dalam fasa ketiga mereka yang dilatih akan dinilai dan dibenarkan menyertai mana-mana perlawanan boling peringkat negeri atau kejohanan boling litar remaja peringkat kebangsaan selain mereka juga akan diberi pendedahan berkenaan kesedaran kecerdasan dan gaya pemakanan yang sihat.

Terdahulu, pemilihan pencarian bakat baru ASA yang diadakan di Pusat Boling Sunway Mega Lanes membabitkan 30 orang pemain muda berumur antara tujuh hingga 15 tahun dengan hanya 15 orang bakal dipilih menyertai ASA.

Syaidatul yang pernah mewakili negara selama 11 tahun bersara daripada skuad kebangsaan pada 2 Sept 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)