Syarat pengeluaran i-Sinar dalam proses dimansuhkan

Syarat pengeluaran i-Sinar dalam proses dimansuhkan

KUALA LUMPUR,. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar untuk menambah baik inisiatif tersebut selepas mengambil kira maklum balas awam, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata keputusan itu dibuat atas nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya langkah itu diharap dapat membantu ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19.

“Pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar ini akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki sedia ada.

“Bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000,” katanya.

Katanya bagi ahli yang mempunyai lebih daripada RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka.

“Bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000,” katanya.

Beliau berkata berikutan perubahan yang perlu dilakukan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online, KWSP memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan ini.

“Pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat oleh KWSP dan kerajaan amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan sistem ini dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menasihati ahli untuk merujuk maklumat sahih daripada KWSP melalui saluran komunikasi rasminya dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang tidak sahih dan bertujuan untuk menipu atau mengelirukan ahli.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )