Syarikat bawa pekerja asing gagal sediakan pekerjaan dicadang dikompaun sehingga RM30,000

Syarikat bawa pekerja asing gagal sediakan pekerjaan dicadang dikompaun sehingga RM30,000

PUTRAJAYA,. Mana-mana syarikat yang membawa masuk pekerja asing tetapi gagal menyediakan pekerjaan dicadangkan dikompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengemukakan cadangan itu dalam Mesyuarat Kabinet semalam berkata ini kerana isu berkenaan memberi impak terhadap semua sektor termasuk perladangan yang menghadapi masalah kekurangan sumber tenaga kerja.

Dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini, Johari berkata jumlah kompaun yang dicadangkan itu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan selain bagi menampung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal, yang sebelum ini ditanggung kerajaan.

“Kita kena pastikan syarikat ini didenda, barulah mereka tidak berani untuk bawa masuk pekerja asing kalau gagal sediakan pekerjaan. Ia memberi imej tidak baik kepada negara,” katanya.

Johari berkata beliau turut terpanggil untuk menyuarakan cadangan itu susulan laporan media pada 25 Dis lepas mengenai penahanan oleh polis sekumpulan 171 lelaki warga asing yang berjalan kaki beramai-ramai di Pengerang, Johor yang mahu ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis kerana ejen pekerjaan tidak memberikan mereka pekerjaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)