Syarikat Tamin Penyumbang Food Bank Malaysia

Syarikat Tamin Penyumbang Food Bank Malaysia

PUTRAJAYA, 22 DISEMBER 2022 – Food Bank Malaysia di bawah kelolaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini menerima sumbangan barangan makanan asas daripada Syarikat Tamin Sdn Bhd bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di kawasan-kawasan terlibat terutamanya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.

2. Syarikat Tamin merupakan sebuah syarikat tempatan yang berjaya yang mengeluarkan barangan makanan berasaskan kicap. Syarikat Tamin sentiasa tampil ke hadapan bagi membantu mereka yang memerlukan khususnya golongan B40. KPDN mewakili Food Bank Malaysia amat berbesar hati menerima sumbangan ini untuk disalurkan kepada mangsa yang terkesan akibat banjir.

3. Tuan Abdul Talib bin Abdul Rahman selaku Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Tamin Sdn Bhd telah menyerahkan sendiri sumbangan ini kepada YB Datuk Salahuddin bin Ayub selaku menteri KPDN yang mewakili Food Bank Malaysia. Syarikat Tamin telah menyumbangkan sebanyak 1 tan barang makanan asas yang dianggarkan bernilai RM 7,300.00 bagi peringkat pertama ini dan akan melakukan penghantaran sumbangan seterusnya secara berperingkat.

4. Sumbangan ini kemudiannya akan diselaraskan oleh Sekretariat Food Bank
Malaysia sebelum diedarkan kepada Pejabat KPDN Negeri sebelum diserahkan kepada mangsa banjir yang terlibat. Rakan Strategik Program Food Bank serta NGO yang berkenaan akan turut serta dalam pengagihan sumbangan ini untuk dihantar terus ke
Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan yang terlibat.

5. Kementerian mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Tamin dan amat
mengalu-alukan sumbangan dari syarikat-syarikat, organisasi-organisasi dan orang
perseorangan sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat dalam membantu
golongan yang memerlukan khususnya mangsa bencana alam seperti tanah runtuh dan
banjir.

6. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai
boleh menghubungi Sekretariat Program Food Bank Malaysia di talian hotline
03-88825860/6960 atau melalui emel kepada [email protected]

YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )