Tabung Kasih@HAWANA bantu pengamal media uzur, hadapi kesukaran – Fahmi

Tabung Kasih@HAWANA bantu pengamal media uzur, hadapi kesukaran – Fahmi

KUALA LUMPUR,. Tabung khas bagi membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang uzur serta berdepan kesukaran hidup akan dilancarkan sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 dari 27 hingga 29 Mei ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata Tabung Kasih@HAWANA itu diperkenalkan kementerian berkenaan melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

“Insya-Allah, menerusi inisiatif ini kita akan menjejaki rakan-rakan kita yang memerlukan bantuan dan memberikan sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan sewajarnya.

“Saya amat mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk Tabung Kasih@HAWANA demi menjayakan hasrat murni membantu rakan-rakan media kita,” katanya pada Majlis Prapelancaran HAWANA 2023 di Wisma Bernama di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin.

Fahmi berkata setakat ini, HAWANA 2023 telah menyantuni bekas wartawan Utusan Melayu (M) Bhd, Muhammad Basir Abu Bakar yang menghidap penyakit jantung dan wartawan veteran, Mohd Sidek Salleh yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani pembedahan akibat kanser usus.

“Bantuan ini kita perlu teliti, bukan sekadar one off. Bagi saya sewajarnya bantuan bersifat murni atau mampan. Kita perlu mencari cara mampan untuk membantu lebih ramai rakan media kita,” katanya

Sementara itu, beliau berkata HAWANA 2023 bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” akan berlangsung di Ipoh, Perak dan bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya program berkenaan yang mendapat sambutan menggalakkan, akan dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti mencari harta karun, pameran, boling serta karnival mini.

“Tidak ketinggalan, sejumlah besar wartawan dari negara ASEAN yang akan menyertai Forum Media diadakan untuk membincangkan kelangsungan industri media khususnya di rantau ini,” katanya.

Fahmi turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad selaku tuan rumah HAWANA 2023, selain penaja atas sumbangan menjayakan perhimpunan terbesar pengamal media di negara ini.

Sementara itu, Roslan mempelawa syarikat dan badan korporat yang ingin menyumbang bagi penganjuran HAWANA 2023.

Setakat ini, HAWANA 2023 telah menerima tajaan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Public Bank, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Tajaan turut diterima daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Canon Malaysia, Johor Plantation, BERJAYA Group Hotels & Resort, BERJAYA Starbuck Coffee, Kenny Rogers Roasters, Pusat Pakaian Hari-Hari Sdn Bhd, Holiday Villa, Carsome, Mydin Mall, AEON Co. (M) Bhd dan MSM Holdings Sdn Bhd.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di negara ini.

HAWANA pertama kali diadakan pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC) Kuala Lumpur, namun tidak dapat diadakan pada 2020 dan 2021 berikutan pandemik COVID-19.

Tahun lepas, HAWANA diterajui oleh KKD yang pada waktu itu dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan Bernama selaku penganjur.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)