Tak mustahil menang ke atas Vietnam – Cheng Hoe

Tak mustahil menang ke atas Vietnam – Cheng Hoe

HANOI,. Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe percaya bukan sesuatu yang mustahil buat skuad Harimau Malaysia untuk mengalahkan Vietnam pada perlawanan Kumpulan G aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, di sini, esok.

Meskinpun Malaysia kalah dua kali dalam tiga pertemuan terakhir dengan skuad Naga Emas itu termasuk kalah dengan agregat 2-3 pada aksi final kedua Piala AFF tahun lalu tetapi Cheng Hoe mempunyai kepercayaan terhadap kemampuan anak buahnya untuk meraih keputusan positif di sini.

Harimau Malaya kini dalam misi memburu tiga mata di sini bagi memperbaiki kedudukan Kumpulan G selepas mengumpul tiga mata daripada dua perlawanan sebelum ini.

“Jurulatih Park (Park Hang Seo) telah melakukan tugas yang hebat selepas mengambil alih pasukan Vietnam dengan membawa perubahan besar tetapi sebagai jurulatih saya juga optimis bahawa kita boleh mendapatkan keputusan yang lebih baik esok,” katanya pada sidang media praperlawanan, di sini, hari ini.

Cheng Hoe menegaskan terdapat perbezaan dan peningkatan dalam pasukannya berbanding ketika tewas pada final Piala AFF 2018 dan ia dibuktikan dalam dua aksi pertama kumpulan menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lepas.

Untuk rekod Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebelum tewas tipis 1-2 kepada UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun, apa yang dituntut Cheng Hoe daripada anak buahnya kini adalah mengekalkan prestasi di atas padang sepanjang 90 minit permainan.

“Ada perbezaan tetapi corak permainan tidak berubah. Pemain berjaya menyesuaikan diri dengan pendekatan dibawa seterusnya menampilkan peningkatan dan ia terbukti dalam dua aksi kempen kelayakan sebelum ini.

“…yang penting untuk esok mereka perlu mempunyai keyakinan tinggi dan fokus dari minit pertama sampai minit terakhir perlawanan untuk kita dapatkan keputusan positif,” jelas pengendali berusia 51 tahun ketika ditemui media Malaysia selepas sidang media tersebut.

Kali terakhir Malaysia menang ke atas Vietnam pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di venue sama di sini di mana Harimau Malaya menang 4-2 dan layak ke perlawanan akhir kejohanan itu dengan agregat 5-4.

— BERNAMA

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )